Monday, September 13, 2010

Gagasan Malaysia...

9 Ogos 1965, secara berasingan dalam persidangan tergempar Dewan Rakyat di Kuala Lumpur untuk meminda Perlembagaan dan satu temuramah di Radio & Television Singapore (RTS) di Caldecott Hill,

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj:
“In all the 10 years of my leadership in this house, I have never had a duty so unpleasant as this to perform.”

Lee Kuan Yew:
“All my life, my whole adult life, I have believed in merger and unity of the two territories. We are connected by geography, the economy and ties of kinship. It broke everything we stood for…”


Tinggal lagi tiga hari seluruh tanahair akan menyambut peristiwa penting dalam sejarah 47 tahun yang lalu secara rasmi buat kali pertama. Biarpun aku pernah kata “Langkah mayat aku dulu jika hendak kemuka cadangan kepada aku supaya menukar kewarganegaraan aku”, tapi semakin dekat hari itu menjelang, aku terfikir akan soalan ini, “Apakah Malaysia kita hari ini masih yang diidam-idamkan oleh moyang-moyang kita dahulu?”

Biarpun dihubung oleh dua buah jambatan yang jumlah jaraknya sekitar 3 km, namun kedua-dua belah jambatan dikawal oleh pihak keselamatan berkuasa, mengehadkan orang ramai yang keluar masuk tanah semenanjung dan pulau kepada mereka yang memegang dokumen perjalanan yang sah sahaja. Telah bertahun-tahun penduduk dari kedua-dua berang yang memegang dokumen tersebut merungut terpaksa menghadapi kesesakan lalulintas pada waktu kemuncak saban hari, terutamanya tambak yang dibina pada zaman yang lebih awal itu. Lebih-lebih lagi kini dengan pembinaan kompleks kastam, imigresen dan kuarantin baru di semenanjung yang lebih jauh ke dalam kawasan bandar dan terpaksa dihubung dengan laluan yang bentuknya macam ular terpukau.

Demografi semenanjung dan pulau tidak banyak berbeza. Sama-sama mengenali satu sama lain dengan komposisi etnik yang serupa, kepelbagaian bahasa, budaya, adat resam dan agama yang tiada perbezaan ketaranya. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa kita semua bagaikan “abang adik”. Sama-sama meraikan perpaduan dalam kepelbagaian, padahal boleh jadi tidak kesampaian hati untuk dibelah bahagi, tetapi yang pedihnya telah membiarkan campur tangan politik menyelinap masuk kehidupan para rakyat, mencetuskan rantaian peristiwa yang akhirnya memaksa pembelahan itu mengambil tempatnya dalam catatan sejarah. Seperti apa yang pernah dinyatakan, “Kita dihubungi secara tempat, ekonomi dan talian persaudaraan…”

Mungkin generasi hari ini tidak dapat rasa kepedihan Tunku ketika mengemukakan usul untuk meminda undang-undang tubuh negara yang berdaulat agar mengeluarkan semua perkataan nama “Singapura” yang muncul di dalamnya selepas pindaan terakhir pada 1963. Bukan suruh “keluar” maka keluar, “pisah” maka pisah, tetapi atas dasar agar tiada titisan darah mereka yang tidak berdosa ditumpahkan (walaupun tetap berlaku 4 tahun kemudian). Detik itu sejurus menetapkan hakikat bahawa Malaysia-Singapura tidak terlepas daripada menghadapi nasib yang pernah atau masih menimpa Korea Utara-Korea Selatan, China-Taiwan, Vietnam Utara-Vietnam Selatan serta India-Pakistan.

Bukannya generasi orang tua tidak pernah menyebut kemungkinan penyatuan semula berlaku, tetapi pada ketika kemungkinan itu disebut secara umum, barisan politik tanah besar pula menafikan kemungkinan tanpa betul-betul bertanya kepada rakyat jelata apakah mungkin ianya boleh berlaku. Ada yang mungkin berkeras mulut, tetapi isi hati siapa yang tahu? Mungkin boleh jadi berlaku, tetapi apakah syarat-syarat yang akan memastikan supaya perceraian itu tidak akan berlaku untuk kali kedua? Mungkinkah model pengembalian semula Hong Kong dan Macau kepada China itu boleh dicontohi? Aku tak pasti. Tetapi jikalau ada kemahuan, pasti ada jalan di situ.

Konflik intra-penduduk: Istilah baru? Tidak. Siapa jua boleh mencipta istilah sedemikian, asalkan kena pada tempat yang sepatutnya. Bagi mereka yang menjadi pemastautin di semenanjung dan pulau di sebelah barat rantau ini, sudah pasti tahu. Bagi mantan Borneo Utara dan bekas jajahan Brooke di sebelah timur Laut China Selatan, aku tidak akan cuba memasuki dua wilayah ini ke dalam perbincangan ini kerana jelas senario di dua belah laut adalah jauh berbeza.

Konflik apa? Bukan, aku bukan menuding jari kepada mana-mana konflik terbuka, tetapi aku juga amat letih dan penat mendengar dan melihat mereka yang masih mahu menyimpan ‘dendam konflik’ sedemikian. Macam-macam label yang hendak dikait-kaitkan terhadap mana-mana kumpulan, baik mereka yang sawo matang, yang kuning dan yang gelap, dengan gelaran binatang haram, kafir, sepet, pisang, hitam dan sebagainya.

Wahai saudara saudari, susahkah untuk mencungkil keindahan di sebalik kepelbagaian kita ini?! Apakah mesej yang kita sampaikan kepada generasi depan kita? Harapan yang cerah atau zaman kegelapan yang mendatang? Kalau anda sendiri, yang mana anda suka? Jangan alpa bahawa segala yang telah dipersetujui oleh bapa-bapa kemerdekaan kita telahpun termeterai dalam Perlembagaan, sudah tidak dapat dipersoal-soalkan lagi! Ini tidak seharusnya menjadi pembelah yang memisahkan sesama kita, bahkan kita sendiri perlu mengawasi arus politik dalam negara yang cuba menjadi pemisah itu (aku enggan menyatakan nama pihak yang mana satu, tetapi pada pandangan aku, dua-dua belah itu pun ada masalah sendiri, tidak ada sesiapa yang sempurna, sudahlah manusia tidak sempurna, apatah lagi sekumpulan manusia?).

Yang sawo matang yang sedar, asalkan saja di tanah semenanjung ini mahupun di sebelah timur Laut, mereka bukannya ada pilihan lain, malah mereka juga ada kehampaan yang walaupun dinyatakan secara jujur tetapi dinafi lain.

Yang kuning yang masih merungut tak henti, segala yang asasi sebenarnya terpelihara, bukannya dihalau atau dipulau. Sebenarnya masih boleh pergi dengan lebih jauh lagi, melepasi ‘kurungan’ yang dicipta oleh …. diri sendiri. Ya, diri sendiri! Cuba nilailah diri, apakah yang telah anda lakukan dalam memainkan peranan dalam masyarakat sebegini yang telah menjadi takdir-Nya, selain daripada terus menyertai mereka yang sama-sama merungut benda yang sama?

Yang gelap, sebenarnya perangai anda dalam komuniti ini adalah amat dipuji. Anda mudah bergaul. Yang sedihnya ialah ‘perbalahan’ sesama sendiri, yang masih mahu membeza-bezakan latar belakang dan asal usul diri untuk menentukan kedudukan dalam masyarakat diri.

Yang lain, aku tidak banyak komen, padahal mereka yang berkahwin campur itu memang jauh lebih awal mudah bergaul, mereka di seberang timur Laut itu tak kisah sangat, asalkan dapat bertutur bahasa kebangsaan, sama-sama menjadi sahabat. Syabas dan teruskanlah.

Ke manakah kita yang 25 juta di Malaysia dan hampir 4 juta di Singapura menghala?

Selamat Hari Malaysia buat warganegara Gagasan Malaysia, baik yang sekarang dan akan datang mahupun yang dahulu.



Jata Malaysia dari 16 September 1963 sehingga 8 Ogos 1965